MBPJ sita lori buang sampah domestik, sisa pendawaian secara haram

15 Jan 2026, 12:30 PM
MBPJ sita lori buang sampah domestik, sisa pendawaian secara haram

SHAH ALAM, 15 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyita sebuah lori selepas didapati terlibat dalam kegiatan pembuangan sampah secara haram di Jalan PJU 1A/7, Petaling Jaya pada 13 Januari lalu.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan tindakan itu hasil operasi intipan dan pemantauan berterusan oleh anggota penguat kuasa dalam usaha membanteras kegiatan pembuangan sampah secara tidak sah.

"Lori berkenaan membuang sampah domestik serta sisa kerja pendawaian secara tidak sah di lokasi terbabit. Lori tersebut disita dan dibawa ke depoh sitaan kenderaan untuk tindakan lanjut termasuk pendakwaan di mahkamah." menurut kenyataan MBPJ di Facebook.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyita sebuah lori selepas didapati terlibat dalam kegiatan pembuangan sampah secara haram di Jalan PJU 1A/7, Petaling Jaya pada 13 Januari 2026. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya

MBPJ menjelaskan, tindakan sitaan dijalankan mengikut UUK 6(2) Undang-undang Kecil Mencegah Kekotoran (MPPJ) 1999 selain menegaskan komitmen pihaknya untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar peraturan kebersihan bandar.

"Orang awam dinasihatkan supaya membuang sampah di tempat yang disediakan serta menggunakan perkhidmatan kontraktor sisa pepejal berdaftar," katanya.

Selain itu, MBPJ turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat atau membuat laporan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram bagi memastikan kebersihan, kesejahteraan dan kelestarian bandar raya terus terpelihara.