Tiada lagi banjir kilat di LDP Puchong selepas projek mitigasi siap

15 Jan 2026, 8:30 AM
Tiada lagi banjir kilat di LDP Puchong selepas projek mitigasi siap

PUCHONG, 15 JAN: Masalah banjir kilat di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran IOI Mall Puchong kini berjaya diatasi selepas projek mitigasi banjir di kawasan itu siap dan beroperasi sepenuhnya.

EXCO Mobiliti, Ng Sze Han berkata, projek bernilai RM6.5 juta itu terbukti berkesan apabila tiada kejadian banjir kilat direkodkan sejak sistem saliran baharu mula beroperasi, termasuk ketika hujan lebat bulan lalu.

“Projek ini secara teknikal telah mencapai 99 peratus siap, dengan baki satu peratus melibatkan kerja-kerja pembersihan tapak serta kemasan akhir yang dijangka diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua minggu. Namun begitu, keseluruhan sistem saliran baharu telah pun berfungsi sepenuhnya.

“Melalui projek ini, kira-kira 70 peratus aliran air hujan dari sekitar Puchong dan IOI disalurkan terus ke tasik di belakang IOI Mall Puchong menerusi sistem saliran baharu, manakala baki 30 peratus dialirkan melalui perparitan sedia ada di hadapan pusat beli-belah sebelum mengalir ke Sungai Klang,” katanya ketika meninjau projek mitigasi banjir berhampiran IOI Business Park, hari ini.

Keadaan terkini projek mitigasi banjir di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran IOI Mall Puchong pada sidang media EXCO Mobiliti, Ng Sze Han di IOI Business Park, Puchong pada 13 Januari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara berkata, penambahbaikan sistem saliran itu berjaya menangani masalah limpahan air yang sebelum ini kerap berlaku akibat hujan lebat dalam tempoh singkat, susulan perubahan iklim.

“Antara skop utama projek termasuk kerja-kerja pembersihan tapak dan tanah, pembinaan terowong saliran (box culvert) di bawah lebuh raya, kerja jalan raya, sistem kumbahan, kerja tebukan paip bawah tanah, serta pembinaan telaga takungan (sump pit).

“Pembinaan projek ini sepatutnya siap pada 27 Februari 2024, namun mengalami sedikit kelewatan berikutan beberapa cabaran teknikal dan operasi sepanjang pelaksanaannya,” ujarnya.

Menurut Sze Han, projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada hampir 500,000 pengguna di sekitar Puchong dan laluan LDP, selain meningkatkan tahap keselamatan serta kelancaran trafik.

“Kita berjaya mengatasi masalah banjir kilat di kawasan ini dan saya yakin risiko kejadian pada masa hadapan dapat dikurangkan walaupun ketika hujan lebat," katanya.

Beliau berkata, kos keseluruhan projek berjumlah RM6.5 juta dibiayai menerusi kerjasama pelbagai pihak.

Ia melibatkan sumbangan RM4 juta daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), RM1.5 juta oleh syarikat konsesi lebuh raya Litrak serta RM1 juta daripada IOI Corporation Bhd bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam.