SPRM umum strategi penguatkuasaan baharu, fokus pemulihan aset

14 Jan 2026, 11:04 AM
SPRM umum strategi penguatkuasaan baharu, fokus pemulihan aset

SHAH ALAM, 14 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mengumumkan strategi penguatkuasaan baharu esok dengan fokus kepada pemulihan aset dan tindakan terhadap penjenayah kewangan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata agensi itu perlu melangkah lebih berkesan dalam mendepani cabaran semasa bagi memastikan setiap tindakan penguatkuasaan selari dengan perubahan yang berlaku.

“SPRM yang masih fokus kepada mengesan, menyiasat dan mendakwa di mahkamah bagi mereka yang terbabit dalam hal rasuah dan mempunyai kepakaran dalam hal penyiasatan jenayah kewangan, termasuk forensik kewangan serta hal berkaitan pengubahan wang haram.

“Dalam aspek pemulihan aset, ia kini bukan sekadar dalam bentuk fizikal, pergi ke rumah suspek dan mendapatkan wang yang diseleweng, sebaliknya pengesanan wang yang dihilangkan dalam pelbagai akaun diletakkan dalam akaun proksi. Ini bukan sesuatu yang mudah untuk SPRM lakukan,” katanya seperti dilapor BH.

Menurut Azam, antara strategi yang akan diumumkan termasuk pemerkasaan tindakan pemulihan aset melalui kaedah yang lebih sistematik dan berteknologi, selain memperbaiki strategi penguatkuasaan yang dilaksanakan pada tahun sebelumnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan meneruskan usaha membanteras rasuah secara menyeluruh, termasuk menjejaki individu berprofil tinggi atau ‘big fish’, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kritikan.

Beliau berkata, rasuah bukan sahaja berleluasa, malah bersifat sistemik dan memerlukan usaha yang sangat besar serta berterusan untuk ditangani.