GOMBAK, 14 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil inisiatif membersihkan sisa binaan dan sisa industri yang dibuang di tapak sampah domestik Taman Wangsa Permai Fasa 2, Kepong, walaupun ia bukan sebahagian daripada skop kutipan harian agensi itu.
Penyelia Kanan KDEBWM kawasan Selayang Azhari Mat Arif berkata tindakan itu diambil bagi memastikan kawasan berkenaan kekal bersih dan terurus serta mengelakkan masalah pembuangan sampah haram daripada berlarutan.

“Ada tiga lokasi terlibat iaitu Jalan Wangsa 2/6, Jalan Wangsa 3/7 dan Jalan Wangsa 3/8. Kutipan sampah domestik dijalankan setiap hari manakala sampah pukal dikutip dua kali seminggu, pada Rabu dan Sabtu. Skop kutipan kami hanyalah untuk sampah domestik dan pukal, tidak termasuk sisa binaan dan sisa industri.
“Namun, demi kebersihan kawasan ini, kadang-kadang kami bantu mengutip juga sisa binaan dan industri yang dibuang secara tidak terkawal,” katanya selepas tinjauan bersama Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 23, Tan Teong Guan, di lokasi itu, hari ini.
Azhari turut menegaskan bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya bergantung kepada pihak KDEBWM atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kesedaran orang ramai amat penting. Pembuangan sampah secara tidak terkawal memang tidak bertamadun dan sepatutnya dielakkan,” katanya.
Sementara itu, Teong Guan memaklumkan pihaknya bercadang menyediakan kira-kira 60 kemudahan tong sampah untuk peniaga sekitar Taman Wangsa Permai Fasa 2 sebagai langkah mengekang pembuangan sampah haram.

Menurutnya, kawasan berkenaan kini dicemari sisa domestik, sampah pukal serta sisa binaan akibat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, mengarahkan semua pejabat daerah memberi tumpuan terhadap isu pembuangan sampah haram dan segera memuktamadkan pelan penyelesaian.
Pada Disember lalu, Kerajaan Negeri turut mengarahkan PBT mengumpul data lengkap kawasan terlibat dalam tempoh seminggu susulan kebimbangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terhadap kebersihan awam.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menekankan perancangan segera perlu dilaksanakan bagi membersihkan negeri ini, sambil menunjukkan rakyat semakin prihatin terhadap isu kebersihan bandar.




