AMPANG, 14 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bertindak pantas susulan aduan penduduk Flat Sri Nilam, Bandar Baru Ampang berkaitan kelewatan kutipan sampah dengan mengadakan lawatan tapak semalam.
Lawatan diketuai Jabatan Perkhidmatan Bandar & Kesihatan MPAJ itu turut disertai Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa merangkap Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Mohd Kamri Kamaruddin serta Ahli Majlis MPAJ Zon 8, Dato’ Yap Wee Seng.
Turut hadir wakil Bahagian COB MPAJ, KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) Flat Sri Nilam bagi meneliti isu teknikal dan akses lori kutipan sampah di lokasi terbabit.
Menurut kenyataan MPAJ di Facebook rasmi, lawatan itu bertujuan mengenal pasti masalah utama serta menilai keadaan sebenar di lapangan demi memperkemas sistem kutipan sisa pepejal.
“Pada masa sama, ia memperkukuh kerjasama antara MPAJ, KDEBWM dan pihak JMB supaya kutipan sampah dapat dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan,” jelas kenyataan itu.
Hasil lawatan, beberapa langkah penambahbaikan dipersetujui termasuk pematuhan jadual kutipan oleh KDEBWM dan pemantauan berkala oleh MPAJ serta penyusunan semula rumah sampah mengikut kategori.
Pihak terlibat turut bersetuju menyediakan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi di kawasan berkenaan untuk meningkatkan pemantauan.
Turut akan dipasang papan tanda larangan membuang sampah di lokasi tidak sepatutnya sebagai amaran kepada penduduk dan pelawat.
MPAJ dalam kenyataan sama menegaskan komitmen memastikan persekitaran perumahan yang bersih, selesa dan kondusif bagi kesejahteraan penduduk Ampang Jaya.
Sebarang aduan berkaitan kebersihan boleh dikemukakan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MPAJ di https://mpaj.spab.gov.my atau talian 1-800-22-8100.


