SHAH ALAM, 14 JAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan 79 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk 23 wanita dalam Op Kutip di sebuah pangsapuri lama di Chow Kit, pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata serbuan bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam selepas risikan mendapati lokasi berkenaan menjadi antara tumpuan Pati di ibu negara.
Beliau berkata kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 55 tahun atas kesalahan tiada pas dan permit sah serta tinggal lebih masa.
"Mereka terdiri daripada 39 warga Indonesia, 25 Bangladesh, 10 Nepal, dua India, dua Pakistan dan seorang Myanmar," katanya, lapor Astro Awani.
Menurut Lokman, kebanyakan Pati terbabit bekerja sebagai pengawal keselamatan dan buruh binaan, selain tinggal dalam keadaan sesak yang berisiko menimbulkan masalah kebersihan.
Operasi itu turut mendapati terdapat cubaan warga asing melarikan diri dengan bersembunyi di bawah sinki, timbunan barangan lusuh serta di celah tangki air.
Seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an yang ditemui bersembunyi di celah tangki air mendakwa berbuat demikian kerana takut selepas pasportnya tamat tempoh.
"Pasport saya dah mati. Saya sorok sebab takut," katanya.
Kesemua tahanan dibawa ke depoh imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


