PUTRAJAYA, 13 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp. (dahulunya Twitter) dan xAI LLC, berhubung isu keselamatan pengguna.
SKMM memaklumkan tindakan itu susulan kegagalan kedua-dua entiti berkenaan memastikan perlindungan mencukupi terhadap penyalahgunaan Grok, termasuk penjanaan dan penyebaran kandungan yang menyalahi undang-undang.
Jelas SKMM, peguam cara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan bermula dalam masa terdekat.
“SKMM telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya, termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau dan imej manipulasi tanpa persetujuan.
“Kandungan yang didakwa melibatkan wanita dan kanak-kanak merupakan perkara yang amat membimbangkan. Perlakuan sedemikian menyalahi undang-undang Malaysia dan menjejaskan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti berkenaan,” menurut kenyataan SKMM.
Difahamkan notis telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari, yang mengkehendaki penghapusan kandungan yang menyalahi undang-undang namun tiada tindakan pemulihan diambil.
SKMM berkata, X Corp. dan xAI LLC boleh dipertanggungjawabkan, walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna.
“Mereka kekal mempunyai kawalan terhadap reka bentuk, pelaksanaan, mekanisme penyeliaan dan langkah mitigasi risiko bagi Grok. Tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi.
“SKMM mengambil maklum kegagalan X Corp. dan xAI LLC untuk menguatkuasakan dasar serta kawalan dalaman mereka sendiri. Kegagalan ini berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia,” jelas kenyataan itu.
SKMM menegaskan pihaknya kekal komited untuk menegakkan undang-undang Malaysia dan melindungi kepentingan awam serta mengingatkan semua platform digital yang beroperasi di Malaysia atau memberi kesan kepada Malaysia hendak mematuhi sepenuhnya semua keperluan undang-undang dan kawal selia berkaitan.



