SHAH ALAM, 13 JAN: Pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dikesan menutup dua huruf pada plat untuk mengisi petrol RON95 akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Kulai Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berkata pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 108(3)(E) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai pada esok dan akan didakwa," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima satu laporan berhubung video tular itu jam 5 petang, pada 4 Januari lalu.
"Video berdurasi seminit 30 saat itu memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak nombor pendaftaran dipaparkan LJ8967 sedang mengisi petrol RON95 di Stesen Minyak Kulai di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru-Air Hitam di sini.
"Siasatan lanjut terhadap pemilik kenderaan itu mendapati nombor plat kereta sudah diubah. Nombor pendaftaran dan pemilik adalah warga Singapura," katanya.
Pada 3 Januari, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo pengusaha sebuah stesen minyak tersebut telag dikenakan tindakan selepas membenarkan kenderaan asing mengisi petrol RON95
Jelasnya, ia melanggar Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.


