GEORGE TOWN, 23 SEPT: Kerajaan hari ini menegaskan larangan bagi kenderaan nombor pendaftaran asing untuk membeli petrol RON95 masih kekal walaupun bahan api itu akan diapungkan untuk golongan bukan layak bagi subsidi itu.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sebaliknya penjualan petrol RON97 akan diteruskan seperti biasa dan kekal sebagai bahan api utama untuk kenderaan nombor pendaftaran asing berkenaan.
Beliau yang turut menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata warga asing bermastautin di Malaysia dengan nombor pendaftaran Malaysia boleh membeli RON95 pada harga pasaran yang akan ditetapkan pada hujung bulan.
Jelas beliau, di bawah pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95), hanya warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah, layak membeli RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.

"Kenderaan berdaftar asing (tidak kiralah) dari Thailand, Indonesia atau Singapura tidak dibenarkan membeli RON95. Mereka hanya boleh beli RON97 sepertimana ketetapan peraturan sedia ada...RON97 memang diapungkan secara bebas.
"(Namun) warga asing bermastautin di Malaysia dan membawa kereta nombor pendaftaran Malaysia boleh membeli RON95 pada harga pasaran yang akan ditentukan pada hujung bulan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasca Pembentangan RMK13 Zon Utara di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Lepas hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan berlakunya bekalan RON95 untuk rakyat tempatan berikutan pembelian tanpa subsidi bagi warga asing, Amir Hamzah memberi jaminan isu sedemikian tidak timbul.
"Tiada masalah kekurangan logistik atau bekalan kerana mereka (kenderaan berdaftar asing) hanya boleh membeli RON97,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95 dan berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.
- BERNAMA