SHAH ALAM, 12 JAN: Pesta Ponggal peringkat Selangor akan diadakan secara besar-besaran di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang, pada 17 Januari ini.
Pesta yang dianjurkan di bawah inisiatif Kita Selangor bakal menampilkan pelbagai program menarik sepanjang hari. Acara bermula seawal 8 pagi hingga 2 petang dengan majlis memasak nasi ponggal di Kuil Sri Maha Mariamman, Kampung Tasek Permai, Ampang Jaya.
Majlis perasmian pula akan berlangsung pada sebelah petang dari 6 petang hingga 11 malam di Dewan Dato’ Ahmad Razali.
Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan acara sukan tradisional masyarakat Tamil dan cabutan bertuah.
EXCO Kerajaan Negeri V Papparaidu berkata majlis perasmian akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, selain turut dihadiri menteri-menteri persekutuan, barisan EXCO negeri dan wakil rakyat.
Jelas beliau, kira-kira 8,000 pengunjung dijangka memeriahkan pesta tersebut.
“Selaras dengan gagasan Malaysia Madani, sambutan ini dijangka berlangsung meriah dengan menonjolkan semangat perpaduan dan kebanggaan budaya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Tetamu juga akan dihidangkan dengan hidangan vegetarian tradisional yang disediakan di atas daun pisang,” katanya.


