Pesta Ponggal wadah pelihara budaya India, erat perpaduan kaum

18 Jan 2026, 9:00 AM
Pesta Ponggal wadah pelihara budaya India, erat perpaduan kaum

AMPANG, 18 JAN: Pesta Ponggal Peringkat Selangor bukan sekadar perayaan, malah menjadi wadah memelihara warisan budaya masyarakat India dan merapatkan hubungan antara kaum di negeri ini.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), V Nadesan berkata perayaan tradisi itu perlu terus dipelihara kerana peranannya dalam mengukuhkan perpaduan kaum.

“Pesta Ponggal membantu mengeratkan perpaduan, bukan hanya dalam komuniti India di Ampang dan Pandan, tetapi merangkumi seluruh Selangor dan Malaysia.

"Ia satu perayaan tradisi yang perlu terus dipelihara,” katanya ketika ditemui pada Pesta Ponggal Peringkat Selangor 2026 di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini, malam tadi.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), V Nadesan. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, sambutan Ponggal membawa mesej keharmonian antara manusia dan alam, selari dengan nilai kehidupan masyarakat majmuk di Selangor.

Nadesan turut mencadangkan agar sambutan itu diperluaskan secara berperingkat di semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Pendekatan ini mampu mengeratkan silaturahim dan menjadi contoh kepada kawasan lain untuk memelihara budaya serta tradisi masyarakat India yang semakin dilupakan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, K Kanegesswari, 40, berkata pesta Ponggal mempunyai keunikan tersendiri kerana mengekalkan konsep serta tradisi asal berbanding sambutan perayaan lain.

Pengunjung, K Kanegesswari berpendapat pendedahan budaya seperti Pesta Ponggal perlu dimulakan sejak kecil. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau menegaskan kepentingan mewariskan adat dan budaya tradisional kepada generasi muda agar terus terpelihara, selain berpendapat pendedahan budaya wajar bermula sejak usia awal.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru rakyat Selangor menolak politik sempit berasaskan perkauman yang dibangkitkan segelintir pihak sejak kebelakangan ini, ketika berucap pada Pesta Ponggal Peringkat Selangor 2026 malam tadi.

Amirudin menegaskan, pendekatan politik seperti itu hingga menimbulkan pertelagahan tidak memberi sebarang manfaat kepada masyarakat yang menghargai keamanan dan keharmonian.

Pesta Ponggal atau pesta menuai disambut masyarakat India pada hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Tamil selama empat hari bermula 14 Januari, dengan ‘Ponggal’ membawa maksud melimpah ruah sebagai simbol kesyukuran dan keharmonian.