Sultan Selangor bantah aktiviti LGBT, titah tindakan tegas

12 Jan 2026, 10:44 AM
Sultan Selangor bantah aktiviti LGBT, titah tindakan tegas

SHAH ALAM, 12 JAN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Mufti Selangor mengambil tindakan tegas terhadap program "Glamping With Pride" yang akan diadakan di Hulu Langat pada 17 dan 18 Januari ini.

Pengerusi Mais Dato' Setia Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor Dato' Setia Anhar Opir dalam kenyataan bersama berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan tentangan dan bantahan keras sebarang aktiviti songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dianjurkan dalam negeri ini.

"Baginda bertitah tidak membenarkan sebarang bentuk festival, perarakan, sambutan, promosi mahupun penubuhan persatuan dan pertubuhan berkaitan LGBT di mana-mana daerah di Selangor.

"Tegas Baginda, walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu dengan Allah yang melangkaui batas fitrah, namun perbuatan ini boleh mengundang kemurkaan serta laknat Allah ke atas negeri ini," kata kenyataan itu.

Titah berkenaan disampaikan ketika Baginda berkenan menerima menghadap Pengerusi Mais dan Mufti Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Selaras dengan titah baginda, Mais dan Mufti Selangor turut menyuarakan bantahan dan tentangan terhadap sebarang bentuk penganjuran aktiviti sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di Selangor.

Mais dan Mufti Selangor menegaskan agama Islam telah mengharamkan amalan songsang LGBT yang mempunyai persamaaan dengan perbuatan liwat kaum Nabi Luth A.S.

Perbuatan ini adalah perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT dan telah menimpakan azab ke atas kaum Nabi Luth A.S atas perbuatan tersebut.

Mais dan Mufti Selangor menegaskan, perbuatan liwat kaum Nabi Luth A.S. yang turut diamalkan oleh kumpulan LGBT ini termasuk dalam kategori dosa-dosa besar dan perbuatan tersebut lebih hina berbanding dengan kesalahan zina.

“Umat Islam, khususnya golongan remaja, tidak seharusnya terikut-ikut dengan amalan dan budaya hidup barat yang mengamalkan amalan songsang ini atas dasar kebebasan hak asasi manusia.

“Tidak semua kebebasan hak asasi manusia boleh diterima dan boleh dijadikan sebagai amalan masyarakat Islam jika ianya jelas bercanggah dengan ajaran agama Islam,” kata kenyataan itu.

Berikutan pendirian tegas Sultan Sharafuddin berkaitan dengan isu ini, Mais dan Mufti Selangor menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program tersebut serta program seumpamanya di Selangor.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), PBT dan PDRM turut diminta untuk menjalankan pemantauan rapi dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak dianjurkan seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor.

“Mais dan Mufti Selangor menuntut komitmen semua pihak dalam memelihara kesucian agama Islam untuk memastikan Selangor kekal harmoni dan bersih daripada sebarang amalan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.