Sultan Selangor rasmi Masjid Al-Ehsan, berkenan terima zakat perniagaan lebih RM3.1 juta

9 Mac 2026, 2:10 PM
Sultan Selangor rasmi Masjid Al-Ehsan, berkenan terima zakat perniagaan lebih RM3.1 juta
Sultan Selangor rasmi Masjid Al-Ehsan, berkenan terima zakat perniagaan lebih RM3.1 juta

SHAH ALAM, 9 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Masjid Al-Ehsan Seksyen 24 bersempena program Ihya’ Ramadan bersama rakyat di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 510 asnaf terdiri daripada 156 fakir, 300 miskin dan 54 mualaf membabitkan peruntukan keseluruhan RM255,000, dengan setiap penerima menerima RM500.

Sultan Sharafuddin juga berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan daripada CIMB Islamic Bank Berhad berjumlah RM1.65 juta serta SIRIM Berhad sebanyak RM1.456 juta.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima zakat perniagaan ketika hadir merasmikan Masjid Al-Ehsan sempena program Ihya’ Ramadan di Masjid Al-Ehsan Seksyen 24, Shah Alam pada 09 Mac  2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sejurus majlis penyampaian sumbangan, Baginda berkenan berbuka puasa bersama rakyat sebelum menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak serta solat sunat Tarawih bersama jemaah di masjid berkenaan.

Terdahulu, ketibaan Baginda yang diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah disambut EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah dan EXCO Kesihatan Awam & Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad serta Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr Anhar Opir.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan ketika hadir merasmikan Masjid Al-Ehsan sempena program Ihya’ Ramadan di Masjid Al-Ehsan Seksyen 24, Shah Alam pada 09 Mac  2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Masjid Al-Ehsan yang dibina di atas tanah seluas 3.6 ekar mula dibangunkan pada 2017 dan siap sepenuhnya pada 2023 dengan kos pembinaan sebanyak RM14 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Masjid berkenaan mampu menampung sehingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa sekali gus berfungsi sebagai pusat ibadah serta aktiviti keagamaan bagi masyarakat setempat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.