ADN Kinrara terus program kumpul beras sempena Tahun Kuda

12 Jan 2026, 6:18 AM
ADN Kinrara terus program kumpul beras sempena Tahun Kuda

SHAH ALAM, 12 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han meneruskan penganjuran program 'Kumpul Beras Seratus Keluarga, Himpun Seratus Keberkatan' sempena sambutan Tahun Kuda, dengan mengalu-alukan orang ramai menyumbang segenggam beras sebagai simbol perkongsian rezeki dan keberkatan.

Menerusi hantaran di Facebook, Sze Han memaklumkan pusat khidmatnya sudah mula mengumpul sumbangan beras putih dan menjemput orang ramai menghantar sumbangan sebelum 4 Februari.

Beliau berkata, penganjuran program pada tahun ini akan dilaksanakan dalam skala lebih besar melibatkan aktiviti menggaul dan pengagihan beras.

"Marilah kita bersama-sama mengumpul, menggaul dan mengagihkan beras demi menghimpunkan keberkatan daripada seratus keluarga," katanya.

Program berkenaan merupakan antara aktiviti tahunan anjuran Sze Han sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi memupuk semangat kebersamaan dan saling berkongsi dalam komuniti.

Tahun lalu, program itu mencatat sejarah apabila berjaya mengumpulkan sumbangan daripada lebih 1,000 isi rumah dengan jumlah beras mencecah kira-kira 3,000 kilogram, sebelum diagihkan kepada orang ramai supaya keberkatan dapat dikongsi bersama.