SHAH ALAM, 11 JAN: Projek pelebaran terusan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning kini sedang giat dilaksanakan bagi menangani risiko banjir di kawasan berkenaan, kata Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning, S Preakas.
Menurut beliau, projek di Taman Sri Muda, Seksyen 25 itu merupakan sebahagian daripada pelan mitigasi banjir yang dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan, melibatkan kerja-kerja kejuruteraan serta pembinaan infrastruktur sokongan.
“Kerja pelebaran terusan sedang berjalan, termasuk beberapa aspek kejuruteraan yang sedang diperincikan. Pada masa sama, pembinaan kunci air baharu di Jalan Bukit Kemuning juga dalam proses pelaksanaan.
“Setakat ini projek berjalan mengikut perancangan, namun saya berharap ia dapat dipercepatkan supaya risiko banjir dapat diminimumkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan di DUN berkenaan, hari ini.
Mengulas lanjut, Preakas berkata beberapa kawasan kerap terjejas seperti Alam Indah dan GreenHills turut menerima penambahbaikan sistem perparitan bagi memastikan aliran air lebih lancar.
“Di Alam Indah, sistem perparitan telah dinaik taraf manakala di GreenHills pula, EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim bersetuju membina parit lebih besar sebagai langkah jangka panjang.
“Semua ini adalah usaha berperingkat bagi memastikan penduduk tidak lagi berdepan kesan banjir berulang,” katanya.


