EXCO: Penternakan babi di Tanjung Sepat akan terus dipantau, maklum pendirian Sultan Selangor

10 Jan 2026, 3:18 PM
EXCO: Penternakan babi di Tanjung Sepat akan terus dipantau, maklum pendirian Sultan Selangor

SHAH ALAM, 10 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat memaklumkan pemantauan terhadap aktiviti penternakan babi di kawasannya telah dan akan terus dilaksanakan, selain mengambil kira pelbagai aduan yang dilaporkan penduduk setempat.

“Patik akan terus memantau perkembangan perkara ini serta memastikan segala tindakan kekal selari dengan titah dan kebijaksanaan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, di samping mengutamakan kepentingan rakyat dan keharmonian negeri,” kata Datuk Borhan Aman Shah menerusi kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Petang tadi, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri yang menetapkan operasi penternakan babi hanya dijalankan di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, Baginda bertitah bahawa perancangan terbabit berkemungkinan melibatkan pembangunan berskala besar serta berorientasikan eksport ke luar negara.

Menyahut titah Sultan Selangor itu, Borhan yang juga EXCO perumahan negeri berkata Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya pendirian berkenaan dan akan memastikan kawalan sistem kumbahan di ladang ternakan dipatuhi bagi menjamin tahap kebersihan, keselamatan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Borhan turut menyatakan Kerajaan Negeri mengambil maklum bantahan Baginda supaya kawasan Tanjung Sepat tidak dijadikan pusat penternakan khinzir sementara menunggu hab penternakan di Bukit Tagar siap sepenuhnya pada tahun 2030.

“Patik turut mengambil maklum dengan penuh keinsafan pendirian tegas Baginda Tuanku yang tidak memperkenankan kawasan Kuala Langat dijadikan lokasi sementara penternakan sebelum pemindahan ke Bukit Tagar pada tahun 2030, mengambil kira kebimbangan terhadap risiko pencemaran, kesan terhadap kesejahteraan penduduk serta keharmonian masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan sama.

Awal malam tadi, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim akan menghadap Sultan Selangor pada Isnin ini bagi memperincikan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Beliau berkata sesi menghadap itu turut akan membentangkan langkah proaktif yang dirangka bersama agensi penguat kuasa bagi memperkukuh aspek keselamatan serta kebersihan persekitaran.

Kelmarin, Izham dilaporkan berkata pentadbiran negeri hanya membenarkan aktiviti penternakan babi dijalankan di Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat sebagai langkah penyelarasan alam sekitar serta kawalan penyakit, termasuk Demam Babi Afrika (ASF).

Penetapan yang berkuat kuasa bermula tahun ini itu melibatkan sebanyak 112 ladang, dengan semua pengusaha diarahkan membuat pembaharuan lesen di bawah Enakmen 1961 dalam tempoh terdekat.

Setakat ini, kebanyakan penternak babi sememangnya menjalankan operasi di Ladang Tumbuk, manakala hanya tiga ladang beroperasi di Sungai Belankan, Sepang.