SHAH ALAM, 8 JAN: Kerajaan Negeri hanya membenarkan aktiviti penternakan babi dijalankan di Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat sebagai langkah penyelarasan alam sekitar serta kawalan penyakit, termasuk Demam Babi Afrika (ASF).
EXCO Pertanian, Dato' Ir Izham Hashim berkata, penetapan yang berkuat kuasa bermula tahun ini melibatkan 112 ladang dan semua pengusaha diarahkan membuat pembaharuan lesen di bawah Enakmen 1961 dalam tempoh terdekat.
Menurut beliau, keputusan itu dicapai hasil perbincangan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam dan akan dilaksanakan bagi tempoh tiga tahun.
“Ini juga merupakan usaha menjaga keterjaminan makanan untuk penduduk bukan Islam. Dalam masa sama, langkah ini dapat memelihara keharmonian masyarakat serta mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar.
“Antara syarat utama permohonan lesen ini, pengusaha perlu pastikan ladang ternakan mereka berkonsep tertutup, sistem pengurusan sisa “zero discharge” dan mempunyai kawasan zon mampan,” katanya pada sidang media hari ini.
Izham berkata setakat ini kebanyakan penternak babi memang menjalankan operasi di Ladang Tumbuk, manakala hanya tiga ladang di Sungai Belankan, Sepang.
“Sehubungan itu pengusaha diminta memindahkan ternakan ke kawasan terbabit. Permohonan sudah boleh dibuat. Proses kelulusan dijangka selesai dalam tempoh sebulan termasuk penyelesaian isu teknikal, penternakan dan kawasan,” katanya.
Izham berkata, pusat ternakan babi moden di Bukit Tagar yang diputuskan pentadbiran sebelum ini dijangka beroperasi pada 2030 berikutan berdepan beberapa isu termasuk pengambilan tanah.
“Pusat ini menjadi langkah jangka panjang dalam pembangunan hala tuju ternakan ini tapi perlukan masa untuk selesaikan isu teknologi dan pelabur. Sebahagian proses ini sudah dicapai,” katanya.


