SHAH ALAM, 10 JAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang penganjuran atau pendekatan yang bertujuan menormalisasikan perlakuan budaya songsang, termasuk program dikenali sebagai ‘Glamping With Pride’.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata perlakuan songsang berkenaan jelas bercanggah dengan ajaran Islam serta bertentangan dengan nilai akhlak, ketamadunan dan sistem perundangan negara.
Beliau menegaskan, perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah undang-undang sedia ada termasuk Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 serta Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii.
“Jakim memandang serius perkara ini dan menegaskan tiada sebarang ruang kompromi terhadap mana-mana penganjuran atau kegiatan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, undang-undang negara serta ketenteraman awam.
“Perkara ini berada dalam pemantauan rapi Jakim bersama Jabatan Agama Islam Selangor dan Polis Diraja Malaysia selain tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Jakim akan terus memperkukuh usaha penerangan, pendidikan dan pencegahan khususnya kepada umat Islam agar tidak terpengaruh dengan agenda normalisasi yang boleh merosakkan akhlak serta struktur sosial negara.
“Semua pihak diingatkan supaya mematuhi undang-undang serta menyerahkan sepenuhnya sebarang isu berkaitan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan lanjut,” tegasnya.
Berita berkaitan program ‘Glamping with Pride’ yang didakwa melibatkan komuniti komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Hulu Langat sebelum ini mencetuskan reaksi pelbagai pihak.
Hari ini, Majlis Agama Islam Selangor turut menegaskan pendirian menolak sebarang kegiatan yang menormalisasikan budaya songsang berkenaan yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Semalam, EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi menegaskan pentadbiran negeri tidak akan berkompromi dan telah mengarahkan pihak berkaitan menyiasat program dua hari yang dijadual berlangsung minggu depan.


