SHAH ALAM, 10 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menegaskan pendirian menolak sebarang kegiatan yang menormalisasikan budaya songsang melibatkan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Agensi itu menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan piaknya memandang serius laporan media mengenai penganjuran program yang dikaitkan dengan komuniti LGBT serta usaha mempromosikan gaya hidup berkenaan.
"Sebagai badan yang bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam di Selangor, Mais menentang keras sebarang bentuk aktiviti yang bertujuan mempromosi, menyokong dan menormalisasikan gaya hidup songsang," katanya.
Agensi itu turut menegaskan perbuatan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malah bertentangan dengan undang-undang, nilai budaya timur dan norma masyarakat di Malaysia.
"Mais menyeru masyarakat Islam supaya sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda normalisasi LGBT yang boleh meruntuhkan moral dan akhlak umat Islam," tambahnya.
Dalam pada itu, Mais menasihatkan mereka yang terjebak dalam gaya hidup songsang untuk kembali kepada fitrah melalui program pemulihan yang dijalankan pihaknya, pihak berkuasa agama lain atau NGO berkaitan.
"Mais akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan agensi kerajaan lain bagi memperkukuh pendidikan akhlak, penyebaran dakwah dan nilai Islam serta memperkemas program pemulihan kepada masyarakat Islam," jelasnya.
Berita berkaitan program ‘Glamping with Pride’ yang didakwa melibatkan komuniti LGBT di Hulu Langat sebelum ini mencetuskan reaksi pelbagai pihak.
Semalam, EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi menegaskan pentadbiran negeri tidak akan berkompromi dan telah mengarahkan pihak berkaitan menyiasat program dua hari yang dijadual berlangsung minggu depan.


