SHAH ALAM, 9 JAN: Detik cemas budak lelaki berusia 10 tahun apabila dibelit ular sawa sepanjang enam meter dalam kejadian di Kampung Temai Tengah, Pekan, semalam.
Mangsa, Abdul Rafka Azka Abdullah diserang reptilia tersebut kira-kira jam 6.50 petang ketika baru tiba di rumah abangnya yang terletak hanya 10 meter dari rumah bapa saudaranya.
Menurut Ramzi Mohamad Amin, 57, beliau bersama abang mangsa, Muhammad Nukman Muhammad Nizam, 26, mengambil masa hampir 30 minit untuk melepaskan gigitan dan belitan ular itu.
“Keadaan sangat cemas apabila badan mangsa dibelit hingga paras leher. Saya terpaksa gunakan lembing dan dua parang untuk buka mulut ular yang menggigit betis kanannya,” katanya, lapor Harian Metro.
Tambah Ramzi, beliau dan isterinya turut cedera apabila taring ular tertusuk ke jari tangannya ketika mencuba membuka mulut reptilia berkenaan.
“Abangnya terlebih dahulu cuba selamatkan adik tapi gagal. Dia terus panggil saya yang berada di rumah. Kami bertiga akhirnya berjaya buka gigitan dan belitan ular itu,” katanya.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila ular sawa tersebut berada di semak berhampiran sebelum menyerang secara tiba-tiba.
Sementara itu Muhammad Nukman berkata, walaupun geli dengan ular, beliau menggagahkan diri demi menyelamatkan nyawa adik bongsunya itu.
“Sebaik sahaja adik terlepas, saya terus bawa dia ke Hospital Pekan untuk rawatan. Doktor maklumkan pembedahan mungkin perlu jika gigitan kena tulang,” ujarnya.
Menurutnya, kejadian itu amat mengerikan dan dia masih sukar melupakan saat cemas tersebut, namun bersyukur adiknya selamat.
Ular sawa terbabit dianggarkan seberat lebih 40 kilogram dan dipercayai berkeliaran di kawasan semak berdekatan rumah penduduk.


