KUALA LUMPUR, 8 JAN: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut kenyataan AGC hari ini, keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
"Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Sept 2023 yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Menurut AGC, berikutan keputusan DNAA tersebut, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.
Ia termasuk perkara-perkara dibangkitkan menerusi enam representasi yang dikemukakan kepada jabatan itu selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.
"Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu diperoleh hasil daripada siasatan lanjut dan penelitian tersebut, jabatan ini berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut," menurut AGC.
Menurut AGC, penelitian dibuat dengan mempertimbangkan perkara-perkara berikut iaitu skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan difailkan.
Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan.
"Jabatan ini juga mengambil kira langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu kes.
"...dan dapatan hasil siasatan lanjut tersebut merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.
Pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
-- BERNAMA


