SHAH ALAM, 8 JAN: Keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terletak sepenuhnya di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 145 yang memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada sesuatu kes perlu diteruskan atau tidak, lapor Berita Harian.
Katanya, keputusan itu dibuat dalam kerangka undang-undang serta budi bicara institusi berkenaan.
"Kuasa itu merupakan sebahagian daripada prinsip pengasingan kuasa dan perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik atau kedudukan individu yang terlibat.
"Berdasarkan kefahaman saya, kuasa untuk mendakwa atau tidak mendakwa adalah prerogatif Peguam Negara. Ia adalah kuasa mengikut perlembagaan dan dilaksanakan mengikut ruang perundangan yang telah ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah 2026 di Dewan Sri Serdang, Bandar Baharu, Kedah, hari ini.
Terdahulu beliau turut mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Imigresen Cawangan Kulim.
Saifuddin bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung keputusan atau perkembangan terkini kes berkenaan sehingga memperoleh maklumat yang lebih terperinci.
"Saya memilih untuk tidak membuat sebarang komen lanjut sehingga mendapat penjelasan dan perincian yang lengkap," katanya.
Pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan hari ini, berkata keputusan berkenaan sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes terbabit.
Menurutnya, ia selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.
Sementara itu, Saifuddin berkata Pejabat Imigresen Kulim kini beroperasi di premis baharu yang lebih luas dan selesa, sekali gus menjawab rungutan lama orang ramai berhubung kesesakan, kekurangan parkir dan ketidakselesaan di lokasi lama yang terletak di deretan rumah kedai.
Katanya, penempatan semula itu bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, selaras dengan keperlua








