PORT DICKSON, 8 JAN: Polis menahan seorang lagi suspek pergaduhan menggunakan senjata disyaki parang di Jalan Pekan Lukut di sini pada 27 Disember lepas, menjadikan jumlah yang ditahan 10 lelaki.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Maslan Udin berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.
”Pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian pada 8.05 malam.
"Hasil semakan mendapati tujuh daripada suspek tersebut mempunyai pelbagai rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah. Kesemua mereka akan didakwa esok di Mahkamah Seremban dan Port Dickson,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata enam individu akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 326, 427 dan 323 manakala empat lagi dijadikan saksi.
Sebelum ini media melaporkan polis menahan sembilan lelaki disyaki terlibat dengan kes pergaduhan di Lukut dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.


