Pesawat MH21 isytihar kecemasan selepas berlepas dari Paris

8 Jan 2026, 12:41 AM
Pesawat MH21 isytihar kecemasan selepas berlepas dari Paris
Pesawat MH21 isytihar kecemasan selepas berlepas dari Paris

SHAH ALAM, 8 JAN: Juruterbang sebuah pesawat Malaysia Airlines mengisytiharkan kecemasan sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle (CDG) di Paris, semalam.

Penerbangan MH21 yang menggunakan pesawat Airbus A350 berlepas pada jam 11.55 pagi waktu tempatan (CET), kira-kira 45 minit lewat dari jadual asal susulan keadaan salji di lapangan terbang berkenaan.

Pesawat dengan pendaftaran 9M-MAB itu berlepas dari landasan 27L, namun menghentikan pendakian pada ketinggian 4,572 meter sebelum anak kapal mengisytiharkan kecemasan (kod squawk 7700) ketika berada di ruang udara tengah Perancis, lapor Harian Metro.

Menurut laman sesawang penjejakan penerbangan flightaware.com, pesawat berkenaan berpatah balik ke CDG dan selamat mendarat pada jam 3.36 petang waktu tempatan.

Tiada kecederaan dilaporkan dan punca insiden dipercayai membabitkan masalah pada sistem panduan pesawat.