SPRM jejak aset milik Abu Sahid di United Kingdom

7 Jan 2026, 7:46 AM
SPRM jejak aset milik Abu Sahid di United Kingdom

SHAH ALAM, 7 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan aset Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed di luar negara dianggarkan bernilai jutaan ringgit dalam siasatan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi luar negara, terutama dari United Kingdom (UK) untuk mendapatkan kembali aset berkenaan, yang dijangka membabitkan jumlah lebih besar, lapor Harian Metro,

"Banyak proses yang perlu kita patuhi di bawah bantuan perundangan bersama antara negara, yang mana ini membabitkan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Pihak kami sudah menyediakan draf kepada AGC bagi memohon maklumat daripada pihak luar negara, terutama sekali daripada The International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) dari UK," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Media Prima Berhad (MPB) di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 8 September lalu, Abu Sahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, membabitkan wang berjumlah RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM139 juta.

Semua pertuduhan terbabit adalah berkaitan cadangan projek pembinaan KLIA MEX II, bermula dari persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA, bagi pihak Maju Holdings.

Sementara itu, Azam berkata, SPRM sudah mengambil keterangan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad pada Disember lalu bagi membantu siasatan kes.

Katanya, Adam Radlan diminta membantu menerangkan mengenai jumlah wang yang dikeluarkan tertuduh, sama ada untuk beliau atau pihak lain.

"Adam Radlan ialah saksi, jadi beliau bebas keluar masuk dalam negara dan siasatan membabitkan MEX II ini masih diteruskan.

"Ia bukan membabitkan beliau seorang saja tetapi beberapa saksi lain, lebih kurang 29 atau 30 orang, yang mana ada wang diberikan pihak tertuduh sebelum ini dan ini menjadi satu perkara subjek yang kita nak tahu berapa banyak wang sebenarnya sudah dikeluarkan," katanya.