PBT diarah tumpu isu sisa pepejal, banjir dan jalan

7 Jan 2026, 4:16 AM
PBT diarah tumpu isu sisa pepejal, banjir dan jalan

SHAH ALAM, 7 JAN: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diingatkan supaya memberi tumpuan terhadap pengurusan sisa pepejal, bencana banjir serta infrastruktur jalan sepanjang tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penekanan itu selari dengan kejayaan Kerajaan Negeri mencatatkan pencapaian hasil yang signifikan sepanjang tahun 2025.

“Tidak boleh dinafikan pengurangan masalah setempat dapat dilihat dan dirasai oleh masyarakat, namun tanpa penceritaan yang sampai kepada khalayak, rakyat mungkin hanya melihat kepada isu secara pukal tanpa mengakui setiap penambahbaikan yang telah dibuat oleh PBT.

“Dalam masa sama, saya melihat keperluan untuk setiap PBT lebih aktif mengetengahkan pencapaian yang berjaya diraih dari aspek penyelesaian isu rakyat di setiap lokaliti PBT,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak perkuasa tempatan (PBT) Selangor, hari ini. Foto Facebook Amirudin Shari

Sementara itu, Amirudin memaklumkan semua isu yang dibangkitkan oleh Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diperhalusi dan dimuktamadkan penyelesaian yang sesuai.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua PBT atas komitmen berterusan dalam menyantuni rakyat Selangor.

“Semoga tahun 2026 menyaksikan pemantapan perkhidmatan ke tahap terbaik, selaras dengan nilai daya tahan uji dan insani yang menjadi teras agenda bersama #KITASelangor,” ujarnya.