SHAH ALAM, 7 JAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran disiplin susulan dakwaan aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan beberapa kem tentera.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Beliau berkata kepimpinan tertinggi TUDM memandang serius perkara itu dan menegaskan semua bentuk salah laku akan ditangani mengikut peraturan perkhidmatan yang ditetapkan.
“Sebarang aktiviti tidak bermoral yang dilakukan di dalam pangkalan adalah dilarang sama sekali kerana ia mencemarkan imej dan maruah TUDM.
“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan perkhidmatan demi memelihara imej, maruah serta profesionalisme TUDM,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan aktiviti tidak bermoral yang tular di media sosial melibatkan beberapa kem tentera.
Menurut MINDEF, siasatan itu bertujuan menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.


