SHAH ALAM, 6 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seramai 17 pengarah syarikat kerana disyaki terbabit dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia.
Perintah reman selama lima hari sehingga 10 Januari ini terhadap sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 60-an dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
SPRM dalam satu hantaran di TikTok menyatakan kesemua suspek ditahan di antara jam 8.30 hingga 11.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan TDM sebagai balasan untuk mendapatkan projek-projek pembekalan dan penyelenggaraan dengan TDM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.


