Kerajaan Madani diasaskan atas semangat pembinaan negara, fokus kebajikan rakyat

6 Jan 2026, 8:14 AM
Kerajaan Madani diasaskan atas semangat pembinaan negara, fokus kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan Madani tidak dibina atas kepentingan parti semata-mata, sebaliknya berteraskan usaha memastikan kestabilan politik, pemulihan ekonomi serta kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Danial Al-Rashid berkata pendirian itu selari dengan kenyataan Biro Politik Amanah yang menegaskan komitmen parti berkenaan untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal pentadbiran.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil mandat rakyat perlu diperkukuh dan tidak seharusnya dibelenggu tekanan politik kepartian, sama ada daripada rakan gabungan mahupun pihak pembangkang.

“Kerajaan ini diasaskan atas semangat pembinaan negara, prinsip demokrasi serta penolakan terhadap sebarang usaha menjatuhkan kerajaan melalui jalan pintas atau pintu belakang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Danial berkata, pengumuman penting perdana menteri semalam berkaitan reform institusi, dasar kebajikan dan pengukuhan ekonomi membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membina kekuatan baharu negara.

“Ia jelas menunjukkan fokus kerajaan adalah terhadap kepentingan rakyat dan masa depan negara, bukan terperangkap dalam percaturan politik sempit,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan meskipun setiap parti berhak menentukan hala tuju masing-masing dalam kerangka demokrasi, kerajaan perpaduan tidak wajar dipermainkan dengan sentimen perkauman atau tekanan politik yang boleh menggugat kestabilan negara.

Mengambil iktibar daripada pengalaman pasca Langkah Sheraton, beliau mengingatkan agar negara tidak sekali lagi terjerumus ke dalam ketidaktentuan politik yang memberi kesan negatif kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

“Fokus kerajaan hari ini mesti kekal jelas iaitu menangani kos sara hidup, memperkukuh ekonomi, menjaga kebajikan rakyat serta memastikan kestabilan politik jangka panjang. Itulah tuntutan sebenar rakyat,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan menyeru semua parti dalam gabungan agar terus memperkukuh perpaduan, meningkatkan libat urus serta bersama-sama mempertahankan Kerajaan Madani demi agama, bangsa dan negara.