Sedarkah kita, menukar kerajaan tidak perlu mengambil masa yang lama, tetapi membina sebuah negara memerlukan kesinambungan, kesabaran dan keberanian yang panjang.
Malaysia telah melalui tempoh pertukaran pentadbiran yang kerap sehingga tenaga negara banyak dihabiskan untuk percaturan kuasa.
Ketika dunia sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi, konflik geopolitik, perubahan iklim dan revolusi kecerdasan buatan (AI), rakyat seharusnya bertanya, adakah kita mahu kembali terperangkap dalam perebutan kuasa, atau memberi ruang kepada agenda pembaharuan yang sedang dibina untuk disempurnakan?
Keputusan rasional pertahankan kestabilan
Seruan mengekalkan Kerajaan MADANI bukan bermaksud rakyat mesti menyokong secara membuta tuli. Ia juga bukan bermaksud kerajaan tidak boleh ditegur. Sebaliknya, ia adalah keputusan rasional untuk mempertahankan kestabilan sambil memastikan pemerintah terus dipantau.
Demokrasi yang matang tidak mengajar rakyat menukar kerajaan hanya kerana terpengaruh dengan satu video, satu fitnah atau satu gelombang polemik, sentimen mahupun emosi. Demokrasi menuntut kita menilai dasar, pencapaian, kekurangan serta arah masa hadapan secara menyeluruh.
Barangkali, kita semua tidak sedari, bahawa Kerajaan MADANI mengambil alih sebuah negara yang berdepan tekanan kos sara hidup, kedudukan fiskal yang mencabar, ketirisan subsidi, keyakinan pelabur yang perlu dipulihkan dan institusi yang mesti diperkuatkan.
Masalah sebesar ini tidak boleh diselesaikan melalui slogan atau keputusan populis. Ada tindakan yang mungkin kurang popular, tetapi perlu dilakukan demi mengelakkan negara menanggung kerosakan lebih besar pada masa hadapan.
Penyasaran subsidi, misalnya, bukan tindakan mudah. Selama bertahun-tahun, subsidi pukal turut dinikmati golongan berada, warga asing, penyeludup dan pihak yang tidak sepatutnya menerima manfaat. Apabila subsidi disasarkan, matlamatnya ialah mengurangkan ketirisan dan mengalihkan sumber kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
Namun kerajaan wajib memastikan pelaksanaannya telus, data penerimanya tepat dan tiada keluarga rentan tercicir. Membetulkan dasar tidak memadai dengan niat yang baik tetapi ia mesti diterjemahkan melalui pelaksanaan yang adil.

Perkembangan yang wajar diberikan perhatian
Pada masa yang sama, asas ekonomi menunjukkan perkembangan yang wajar diberikan perhatian. sedarkah kita, data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026, kadar pengangguran 3.0 peratus pada Jun dan inflasi 1.8 peratus pada Julai 2026?
Angka ini tidak bermakna seluruh masalah rakyat telah selesai. Namun ia menunjukkan bahawa negara sedang bergerak pada landasan yang lebih meyakinkan. Tugas berikutnya adalah memastikan pertumbuhan tersebut benar-benar dirasai melalui gaji lebih baik, peluang pekerjaan bermutu dan harga keperluan rakyat yang terkawal.
Tahukah kita, kemiskinan mutlak pula menurun daripada 6.2 peratus pada 2022 kepada 5.1 peratus pada 2024? Penurunan ini merupakan perkembangan positif, tetapi belum boleh diraikan secara berlebihan.
Di sebalik angka tersebut masih ada keluarga yang mengikat perut, pekerja yang gajinya tidak sepadan dengan kos kehidupan dan anak muda yang sukar memiliki rumah. Justeru, agenda MADANI mesti diteruskan bukan kerana semuanya telah berjaya, tetapi kerana kerja membaiki kehidupan rakyat masih diteruskan dan belum selesai.
Inilah makna sebenar ‘menaikkan siling dan menaikkan lantai.’ Negara perlu mengejar pelaburan, teknologi, produktiviti dan industri bernilai tinggi, tetapi pada masa yang sama mesti mengangkat kehidupan kelompok terbawah.
Kemajuan tidak boleh hanya kelihatan pada bangunan pencakar langit atau jumlah pelaburan yang diumumkan. Kemajuan seharusnya sampai ke meja makan rakyat, bilik darjah, klinik desa, ladang petani, bengkel peniaga kecil dan akaun simpanan pekerja.
Agenda reformasi institusi
Agenda reformasi institusi juga memerlukan masa dan desakan rakyat yang berterusan. Kebebasan institusi, pengasingan kuasa, ketelusan perolehan, kebertanggungjawaban pemimpin dan usaha membanteras rasuah tidak boleh berhenti sebagai pidato.
Kerajaan MADANI mesti membuktikan bahawa undang-undang tidak memilih pangkat, parti atau kedudukan. Jika terdapat kelemahan, rakyat mesti bersuara. Tetapi kelemahan pelaksanaan seharusnya mendorong kita memperkuat reformasi, bukannya menyerahkan kembali negara kepada budaya politik lama yang pernah mengecewakan.
Kestabilan kerajaan bukanlah hadiah kepada ahli politik. Kestabilan ialah keperluan rakyat. Pelabur memerlukan kepastian dasar, penjawat awam memerlukan arahan yang konsisten, usahawan memerlukan persekitaran yang boleh diramal dan rakyat memerlukan program yang tidak berubah setiap kali berlaku pertukaran kuasa.
Apabila kerajaan sibuk mempertahankan kedudukan setiap beberapa bulan, agenda pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan keterjaminan makanan akan kehilangan tumpuan.
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 telah menggariskan perjalanan pembangunan seterusnya. Peralihan tenaga, pendigitalan, kecerdasan buatan, pembangunan bakat, peningkatan produktiviti dan keterjaminan makanan bukan projek semalaman.
Jika haluan negara diputuskan setiap kali sentimen politik berubah, banyak dasar akan terhenti sebelum sempat membuahkan hasil. Rakyat akhirnya menanggung kerugian sedangkan pemimpin terus berpindah pentas. Kestabilan negara juga terjejas.

Lebih berani melaksanakan reformasi
Namun mengekalkan Kerajaan MADANI tidak bererti mengekalkan segala kelemahannya. Kerajaan perlu lebih pantas menangani kos sara hidup, lebih berani melaksanakan reformasi, lebih jelas berkomunikasi dan lebih tegas terhadap rasuah serta salah guna kuasa.
Menteri dan wakil rakyat mesti turun mendengar denyut kehidupan masyarakat, bukan semata-mata membaca laporan yang indah. Rakyat tidak mahu alasan tetapi rakyat mahu perubahan yang boleh dilihat, disentuh dan dirasakan.
Sebagai Sahabat Penggerak MADANI (SPM), tanggungjawabnya bukanlah menjadi pasukan sorak kepada kerajaan. Kita ialah jambatan yang menyampaikan dasar kepada masyarakat dan membawa keresahan masyarakat kepada kerajaan.
Jika benar, kita pertahankan. Jika baik, kita sebarkan. Jika lemah, kita tegur. Jika tersasar, kita betulkan. Kesetiaan tertinggi bukan kepada individu atau parti, tetapi kepada rakyat, Perlembagaan dan masa hadapan Malaysia.
Kita juga perlu menolak politik yang menjadikan kaum dan agama sebagai senjata menakutkan masyarakat. Malaysia tidak akan maju jika rakyat sentiasa dipisahkan antara ‘kami’ dengan ‘mereka.’
Nilai MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, mesti diterjemahkan menjadi budaya pemerintahan yang memuliakan semua manusia tanpa menghapuskan identiti agama, bangsa dan warisan masing-masing.
Berilah ruang ‘Rumah Besar Malaysia’ siap
Akhirnya, persoalannya bukan sama ada Kerajaan MADANI sempurna. Hakikatnya, tiada kerajaan yang sempurna.
Persoalan yang lebih adil ialah, adakah negara sedang dibawa ke arah yang lebih stabil, berintegriti, inklusif dan berdaya saing? Jika asasnya sedang dibina, jangan kita robohkan hanya kerana hasil akhirnya belum kelihatan sepenuhnya.
Pantau pembinaannya, periksa bahannya dan tegur kecacatannya, tetapi berilah ruang agar rumah besar bernama Malaysia dapat disiapkan dengan sebaiknya.
Kekalkan MADANI bukan demi mempertahankan kerusi sesiapa. Kekalkan MADANI supaya reformasi tidak mati di tengah jalan, kestabilan tidak sekali lagi dikorbankan dan agenda rakyat dapat dituntaskan.
Sokongan itu bukan cek kosong, tetapi mandat bersyarat iaitu teruskan perubahan, tunaikan amanah dan buktikan bahawa kuasa benar-benar digunakan untuk mengangkat martabat rakyat.
Malaysia tidak memerlukan satu lagi episod perebutan kuasa. Malaysia memerlukan keberanian untuk menyempurnakan perubahan yang telah dimulakan.
*Atriza Umar adalah Calon Ijazah Kedoktoran (Kepimpinan Wanita) dan Sahabat Penggerak MADANI (SPM)








