Sindiket menyamar Timbalan Pendakwa Raya, pesara rugi RM658,520

6 Jan 2026, 7:30 AM
Sindiket menyamar Timbalan Pendakwa Raya, pesara rugi RM658,520

SHAH ALAM, 6 JAN: Seorang pesara kerajaan terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian RM658,520 selepas diperdaya sindiket menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 68 tahun yang diperdaya suspek selepas menerima panggilan telefon bermula 8 Disember lalu.

“Suspek menyamar pegawai polis, mendakwa mangsa terlibat aktiviti pengubahan wang haram serta rasuah, dan keesokan harinya dia terima satu lagi panggilan telefon daripada individu mendakwa Timbalan Pendakwa Raya.

“Mangsa diarah melapor diri lima kali sehari melalui aplikasi WhatsApp, membuka satu akaun bank baharu dan memindahkan kesemua wang daripada akaun sedia ada ke akaun baharu itu kononnya untuk siasatan,” katanya seperti lapor Harian Metro.

Menurut Mohd Sofian, mangsa mengikut semua arahan suspek termasuk membuka akaun bank baharu dan memindahkan keseluruhan wang simpanannya pada 14 Disember lalu.

Tambahnya, mangsa turut menyerahkan maklumat perbankan dan peribadi kepada suspek selain diarahkan memadam semua mesej perbualan di aplikasi WhatsApp.

Dalam pada itu, pesara berkenaan mula menyedari dirinya ditipu selepas semakan akaun bank pada 4 Januari mendapati baki simpanan berkurangan secara mendadak serta terdapat 19 transaksi mencurigakan.

“Laporan polis dibuat untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambahnya.