SHAH ALAM, 6 JAN: Sifat introvert bukan alasan untuk seseorang pekerja kekal pasif atau gagal menyesuaikan diri dalam alam pekerjaan. Sebaliknya, ia merupakan ciri personaliti yang boleh diperkasa melalui pendekatan dan sokongan yang betul.
Kaunselor Pusat Kaunseling Selangor, Zumasni Rajikin berkata personaliti introvert boleh berpunca daripada sifat semula jadi sejak kecil atau kesan trauma serta pengalaman hidup tertentu.
“Introvert boleh datang daripada personaliti semula jadi atau trauma, dan kedua-duanya memerlukan pendekatan berbeza, bukannya penilaian negatif,” katanya.
Beliau menjelaskan pekerja introvert sebenarnya mampu menyesuaikan diri di tempat kerja, namun proses berkenaan memerlukan masa, sokongan emosi dan persekitaran yang kondusif.
“Majikan perlu memberi peluang kepada pekerja introvert untuk ke hadapan, mencuba tugasan baharu dan melibatkan diri secara aktif supaya keyakinan diri mereka dapat dibina,” ujarnya.
Dalam pada itu, individu introvert yang terlalu pasif dan terasing berisiko mengalami masalah kesihatan mental seperti tekanan, trauma dan kemurungan sekiranya tidak mendapatkan bantuan.
“Antara tanda awal kemurungan termasuk kehilangan motivasi, menjauhkan diri serta prestasi kerja yang merosot, dan keadaan ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Menurut beliau, kesedaran diri merupakan langkah pertama sebelum seseorang mendapatkan rawatan atau khidmat kaunseling.
“Bantuan tidak boleh dipaksa kerana perubahan hanya boleh berlaku apabila individu itu sendiri bersedia untuk dibantu dan mahu memperbaiki keadaan diri,” jelasnya.


