SHAH ALAM, 6 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengarahkan penutupan serta-merta sebuah pusat hiburan yang beroperasi secara haram menerusi operasi penguatkuasaan di Bandar Puteri, Puchong.
MBSJ turut menyita beberapa barangan berkaitan yang terdapat di premis berkenaan selaras dengan peruntukan undang-undang bagi memastikan pematuhan terhadap lesen dan peraturan sedia ada.
“Serbuan ini melibatkan pemeriksaan dan tindakan terhadap premis yang didapati menjalankan aktiviti hiburan tanpa kebenaran MBSJ.
“Tindakan sitaan ke atas barangan berkaitan telah diambil, selain penutupan premis dilaksanakan serta-merta,” menurut MBSJ di Facebook.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjaga ketenteraman dan kesejahteraan komuniti.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan sebarang aduan berkaitan aktiviti yang menyalahi peraturan MBSJ melalui laman sesawang rasmi MBSJ atau menghubungi Jabatan Penguatkuasaan MBSJ menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-220 7823.


