SHAH ALAM, 6 JAN: Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN) di Kajang kini lebih selesa dan selamat selepas kerja naik taraf taman permainan serta penurapan semula jalan sekitar hospital siap sepenuhnya dengan kos RM77,000.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, peruntukan tersebut disalurkan menerusi Projek Mesra Rakyat bagi meningkatkan keselesaan pengunjung dan pesakit hospital, khususnya susulan peningkatan jumlah pengunjung selepas pembukaan blok wanita dan kanak-kanak yang baharu.
Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf melibatkan pembaikan dan penambahbaikan taman permainan kanak-kanak, pengecatan semula peralatan sedia ada serta penggantian lantai dan bumbung yang rosak.
“Selain itu, kerja penurapan semula turut dilaksanakan di laluan jalan sekitar hospital bagi memastikan pergerakan kenderaan lebih selamat dan lancar,” katanya seperti dilapor StarMetro.
Syahredzan menambah, pemeriksaan berkala turut dijalankan bagi memastikan semua kemudahan yang dinaik taraf kekal berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak RM80,000 turut diperuntukkan bagi pemasangan lampu jalan solar di sekitar kawasan Bangi.
Daripada jumlah itu, RM50,000 digunakan untuk pemasangan lima unit lampu solar di Jalan Semenyih, manakala RM30,000 lagi disalurkan bagi pemasangan enam unit lampu di kawasan Bangi Ramah, Desa Sri Bangi dan Kampung Bahagia.
“Pemasangan lampu tambahan ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan serta pencahayaan di kawasan perumahan,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ahli Majlis Zon 7 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Nor Zulaila Abd Ghani.


