KAJANG, 2 OKT: Parlimen Bangi memperuntukkan RM283,580 melalui Projek Mesra Rakyat bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur di Hospital Kajang, Flat Maju Satu, Sungai Jelok dan Jalan Semenyih.
Ahli Parlimennya, Syahredzan Johan berkata daripada jumlah itu, RM77,000 digunakan untuk menurap jalan, membaiki bumbung wad kanak-kanak serta kawasan taman permainan di Hospital Kajang.
Selain itu, sebanyak RM156,580 disalurkan bagi membaiki bumbung Flat Maju Satu, manakala RM50,000 digunakan untuk memasang lima unit lampu solar di Jalan Semenyih.
“Naik taraf di Hospital Kajang dilakukan demi keselesaan pengunjung kerana kemudahannya sudah uzur dan sentiasa menerima ramai pelawat. Lampu solar pula dipasang di Jalan Semenyih untuk mewujudkan kawasan lebih terang berhampiran Klinik Kesihatan Kajang.

“Bumbung Flat Maju Satu pula perlu diganti kerana sudah berusia 30 tahun. Projek ini merupakan peruntukan terbesar Parlimen Bangi tahun ini dan semua kerja telah siap sepenuhnya,” katanya selepas membuat tinjauan.
Beliau dalam masa sama berharap kerajaan menambah peruntukan penyelenggaraan infrastruktur pada Belanjawan 2026 minggu depan, memandangkan Parlimen Bangi mempunyai kepadatan penduduk dengan jumlah pengundi melebihi 700,000 orang.
“Kerajaan Madani berusaha meningkatkan hasil negara antaranya melalui peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijangka mengutip sehingga RM8 bilion serta pelarasan subsidi petrol RON95 antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion.
“Saya yakin pelbagai inisiatif untuk rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2026, Jumaat depan,” katanya.
