Forum Ekonomi: Kerajaan bentang hala tuju negara hadapi ketidaktentuan global

5 Jan 2026, 1:13 PM
Forum Ekonomi: Kerajaan bentang hala tuju negara hadapi ketidaktentuan global

SHAH ALAM, 5 JAN: Kerajaan akan membentangkan fokus serta hala tuju ekonomi negara bagi tahun 2026 pada penganjuran Forum Ekonomi Malaysia yang dijadualkan berlangsung awal Februari ini.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata forum itu penting bagi menetapkan keutamaan ekonomi negara ketika dunia berdepan ketidaktentuan global susulan Perang Tarif Amerika Syarikat serta ketegangan geopolitik yang memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi antarabangsa.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Foto BERNAMA

“Tahun ini kita mula merasai kesan Perang Tarif Amerika Syarikat yang mencetuskan ketidaktentuan ekonomi global, selain konflik geopolitik yang turut menekan pertumbuhan ekonomi dunia.

“Menyusun keutamaan dan menetapkan hala tuju ekonomi negara bagi beberapa minggu pertama tahun 2026 amat penting dan akan menjadi tumpuan utama kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, Kementerian Ekonomi turut merangka sebanyak 25 sesi taklimat yang akan disusuli perbincangan terperinci berkaitan dasar serta pelaksanaan hala tuju pembangunan negara.

Katanya, kerajaan juga akan mengadakan libat urus bersama pelbagai pemegang taruh dan pihak berkepentingan strategik bagi memastikan hala tuju ekonomi yang digariskan bersifat inklusif serta berdaya tahan menghadapi cabaran global.