Oleh Yasmin Ramlan
SHAH ALAM, 10 JAN: Usaha meningkatkan keterangkuman dalam pekerjaan dengan menggajikan lebih ramai tenaga kerja wanita dan generasi lebih berusia penting untuk ekonomi, kata pakar ekonomi kanan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin.
Menurutnya, terdapat keperluan untuk mengiktiraf dan menghargai kemahiran serta pengalaman dimiliki pekerja lebih berusia di samping menangani diskriminasi umur.
“Kami ada bukti menunjukkan majikan memang ingin mengambil pekerja daripada generasi lebih berusia, tetapi cabaran yang mereka hadapi ialah diskriminasi. Disebabkan itu harus ada langkah menggalakkan antidiskriminasi di tempat kerja.
“Kita juga perlu menaikkan umur persaraan minimum dan memperkenalkan umur persaraan fleksibel bagi membawa lebih ramai golongan senior dan lebih berusia dalam tenaga kerja,” katanya dalam forum ‘Menangani Jurang Bakat Malaysia’, sempena Forum Ekonomi Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Beliau menambah hanya 40 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia berumur 40 tahun ke atas dan menganggapnya sebagai angka sangat rendah.
“Memang difahami ini adalah isu kompleks dan sensitif, tetapi kita boleh memberi peluang lebih inklusif kepada generasi lebih berusia untuk peluang kerja jika mereka mahu dan lebih penting menghargai kemahiran, pengalaman dan keadaan peribadi mereka,” katanya.
Sambil menekankan kepentingan penyertaan tinggi wanita dalam tenaga kerja, katanya ia selaras Kerangka Ekonomi Madani yang menetapkan sasaran penyertaan tenaga kerja wanita sebanyak 60 peratus menjelang tahun ini.
“Tetapi seperti yang saya katakan, ia bukan hanya sasaran semata-mata. Jika kita melihat secara mendalam, angka itu sebenarnya agak tinggi.
“Terdapat ramai wanita bekerja di Kuala Lumpur, Selangor, dan Putrajaya jauh lebih tinggi daripada 60 peratus dan setanding dengan ekonomi maju,” katanya.
Bagaimanapun, katanya penyertaan tenaga kerja wanita di seluruh negara kini berada pada tahap 56 peratus dan menekankan keperluan untuk meningkatkan peluang tanpa mengeksploitasi golongan itu dengan membayar gaji rendah atau menetapkan sasaran yang tidak adil.
Beliau menggesa perlindungan lebih baik terhadap maruah dan hak wanita serta memastikan layanan adil di tempat kerja.
Mengulas mengenai isu pekerjaan di bawah kelayakan (underemployment) terutama dalam kalangan graduan, beliau berkata kadar pekerjaan di bawah kelayakan di Malaysia meningkat daripada 27 peratus pada 2010 kepada 37 peratus kini, dengan majoritinya melibatkan pemegang ijazah.
Katanya, penawaran graduan melebihi penciptaan pekerjaan setaraf graduan, dengan hanya kira-kira 50,000 pekerjaan baru setaraf graduan diwujudkan setiap tahun dan menyeru tindakan segera bagi merapatkan jurang tersebut.


