SST perkhidmatan sewaan kini enam peratus, PMKS terima pelepasan baharu

5 Jan 2026, 11:21 AM
SST perkhidmatan sewaan kini enam peratus, PMKS terima pelepasan baharu

SHAH ALAM, 5 JAN: Kerajaan hari ini mengumumkan beberapa penambahbaikan dasar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa 1 Januari lalu, termasuk penurunan kadar cukai perkhidmatan sewaan daripada 8% kepada 6% bagi menyokong pertumbuhan industri.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, had jualan tahunan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dikecualikan daripada cukai perkhidmatan dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta.

Manakala PMKS baharu layak menikmati pengecualian SST ke atas sewaan atau pajakan selama satu tahun bermula tarikh pendaftaran.

Kerajaan turut memberi pengecualian cukai jualan ke atas bahan mentah kritikal yang digunakan oleh pengilang berdaftar, khususnya sektor pertanian dan penternakan, termasuk makanan ternakan, baja dan racun perosak. Langkah ini bertujuan memastikan kos pengeluaran dan rantaian bekalan makanan terkawal.

Selain itu, pengecualian SST bagi perjanjian pembinaan yang ditandatangani sebelum 1 Julai 2025 dan tiada klausa boleh semak dilanjutkan hingga 30 Jun 2027, membolehkan perjanjian lama menikmati pengecualian selama dua tahun.

Perkhidmatan pembinaan bangunan ibadat seperti masjid, surau, kuil, gereja dan tokong juga dikecualikan daripada cukai perkhidmatan berkuat kuasa 1 Julai 2025.

MOF menegaskan langkah-langkah ini menyokong pertumbuhan industri, meringankan beban PMKS, dan memastikan kestabilan harga barangan keperluan rakyat.