SHAH ALAM, 5 JAN: Kerajaan Selangor akan menganjurkan sambutan Thaipusam peringkat negeri pada 31 Januari ini, bersempena Eve of Thaipusam, seperti yang dilaksana setiap tahun.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata sambutan berkenaan akan diadakan di bawah jambatan berhampiran Batu Caves, selaras dengan lokasi penganjuran sambutan sebelum ini.
Menurut beliau, selain menganjurkan sambutan tersebut, Kerajaan Negeri turut akan menyampaikan cek bantuan kepada kuil-kuil di Selangor sempena progam berkenaan.
"Penyerahan bantuan itu akan dilaksanakan menerusi fasa pertama, melibatkan kuil-kuil yang memenuhi syarat serta kriteria yang telah ditetapkan.
“Pada fasa pertama ini, kita menjangkakan lebih kurang 50 buah kuil akan dipilih sebagai penerima,” katanya pada sidang media di Selayang, hari ini.
Beliau menjelaskan hanya kuil-kuil yang layak serta mengemukakan dokumen lengkap akan dipertimbangkan untuk menerima bantuan berkenaan.


