Dana RM200 juta naik taraf sekolah agama rakyat, maahad tahfiz di seluruh negara

5 Jan 2026, 8:36 AM
Dana RM200 juta naik taraf sekolah agama rakyat, maahad tahfiz di seluruh negara
Dana RM200 juta naik taraf sekolah agama rakyat, maahad tahfiz di seluruh negara
Dana RM200 juta naik taraf sekolah agama rakyat, maahad tahfiz di seluruh negara

SHAH ALAM, 5 JAN: Kerajaan menyalurkan dana segera sebanyak RM200 juta bagi menaik taraf kemudahan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan maahad tahfiz yang daif di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata Peruntukan itu bertujuan memastikan murid di SAR yang tidak berada di bawah sistem pendidikan kebangsaan, turut menikmati kemudahan yang setara dengan sekolah kerajaan.

“Walaupun tidak termasuk dalam skim sekolah kebangsaan, terdapat lebih kurang 300,000 pelajar di sekolah agama rakyat.

Sebelum ini bantuan kepada mereka dibatalkan, jadi kita meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berunding dengan sekolah-sekolah ini untuk memperbaiki kurikulum, meningkatkan mutu guru dan menyediakan kemudahan yang memadai,” kata  Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM80 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) manakala RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masih berdepan isu kemudahan daif.

“Beberapa SJKC turut diikuti anak-anak Bumiputera dan India. Sebelum ini peruntukan hanya RM50 juta, kini dinaikkan ke RM80 juta.

”Untuk SJKT pula, walaupun jumlah sekolah sedikit, terdapat yang masih daif, jadi kerajaan sediakan RM50 juta,” ujarnya.

Langkah ini adalah sebahagian usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan dan kemudahan prasarana sekolah luar sistem kebangsaan, memastikan semua pelajar mendapat peluang pembelajaran yang setara.