Peranan ibu bapa kunci gilap potensi anak – KEMAS Selangor

5 Jan 2026, 7:50 AM
Peranan ibu bapa kunci gilap potensi anak – KEMAS Selangor

KUALA LANGAT, 5 JAN: Ibu bapa perlu memainkan peranan aktif mengenal pasti potensi anak-anak sejak usia awal bagi memastikan bakat sedia ada dapat digilap secara berkesan.

Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Selangor, Noor Azman Ab Rahman berkata peranan ibu bapa amat penting memandangkan sebahagian besar masa kanak-kanak dihabiskan bersama keluarga berbanding di sekolah.

“Di sekolah, masa pembelajaran hanya sekitar empat hingga lima jam sehari, selebihnya anak-anak bersama ibu bapa. Kesungguhan ibu bapa menjadi faktor utama kejayaan anak-anak kerana merekalah pelapis masa depan negara.

“Di KEMAS, anak-anak menunjukkan pelbagai bakat, membuktikan KEMAS bukan sekadar tempat membaca, melukis atau menyanyi, sebaliknya mampu melahirkan kanak-kanak berpotensi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis meraikan kejayaan KEMAS Selangor yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan Hari Potensi Kanak-kanak sempena Festival KEMAS 2025.

Terdahulu, KEMAS Selangor memenangi lima daripada lapan acara yang dipertandingkan iaitu Huffaz Cilik Enam Tahun, Dunia Pentomen Cilik, Choral Speaking, Ollobot dan Ikon Bitara Ilmu.

Mengulas lanjut, Noor Azman berkata KEMAS akan melaksanakan program pendigitalan tabika bermula tahun ini bagi menyokong sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan peralatan teknologi.

“Pendigitalan ini bertujuan mendidik anak-anak tentang penggunaan gajet secara berhemah dan berfaedah, bukan sekadar menonton video.

“KEMAS juga merancang penubuhan Tunas Istimewa khusus untuk kanak-kanak autisme bagi memastikan golongan ini turut mendapat akses pendidikan yang bersesuaian,” katanya.