SHAH ALAM, 4 JAN: Selangor FC mempamerkan disiplin pertahanan yang tinggi namun tetap akur tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Meskipun berdepan tekanan berterusan daripada juara bertahan liga itu, Selangor berjaya mengehadkan kebangkitan JDT sepanjang perlawanan sebelum dibolosi jaringan kedua pada lewat permainan.
Kekalahan tersebut menamatkan rekod tanpa kalah Selangor selepas tujuh perlawanan, sementara JDT meneruskan dominasi dengan kemenangan ke-13 berturut-turut dalam saingan liga musim ini.
Memetik laporan BH Online, JDT membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi percubaan Nacho Mendez yang terkena pertahanan Selangor sebelum menewaskan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Selangor kembali tersusun dan beraksi lebih berdisiplin, dengan Kalamullah tampil cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya termasuk daripada Jairo da Silva dan Oscar Arribas bagi memastikan kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada babak kedua, Selangor terus memperkukuh benteng pertahanan dan berjaya mengekang JDT daripada mencipta banyak peluang bersih, walaupun penguasaan permainan lebih memihak kepada pasukan pelawat.
Bagaimanapun, kekurangan ancaman di bahagian serangan menyukarkan Selangor untuk memburu gol penyamaan apabila usaha yang dirangka gagal menguji penjaga gol JDT.
JDT akhirnya mengesahkan kemenangan menerusi jaringan penyerang gantian Bergson da Silva pada minit kedua masa kecederaan.
Keputusan itu menyaksikan Selangor kekal di tangga keempat liga, ketinggalan tiga mata di belakang Kuching City dan Kuala Lumpur City, namun masih berada dalam kelompok persaingan teratas Liga Super.










