HULU SELANGOR, 3 JAN: Perjuangan untuk mengubah dan menambah baik sistem negara mesti dilaksanakan secara waras, berprinsip dan berlandaskan nilai integriti, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan usaha menuntut perubahan sistem bukan didorong oleh kepentingan peribadi atau jawatan menteri sebaliknya, bertujuan mewujudkan sistem yang lebih adil serta memastikan kuasa digunakan secara bertanggungjawab dan bijaksana.
“Perjuangan ini bukan mengenai jawatan atau kedudukan, tetapi usaha untuk membina sistem yang adil dan memastikan kuasa tidak disalahgunakan.
"Perubahan pula tidak boleh dilakukan secara membuta tuli. Kita mesti menolak rasuah dan penyelewengan serta memastikan setiap langkah diambil berpaksikan kewarasan dan prinsip,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan semua peringkat akar umbi termasuk golongan veteran dengan mencadangkan setiap cabang mempunyai unit veteran bagi mengukuhkan kerjasama antara pemimpin muda dan tokoh berpengalaman.
Beliau menambah, kerjasama tersebut penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan serta memanfaatkan pengalaman lalu dalam membina hala tuju masa depan yang lebih kukuh dan berintegriti.
Pada majlis sama, Perdana Menteri merasmikan pensijilan logo halal bagi produk Gula Rahmah yang ditawarkan pada harga RM2.70 sekilogram.
Menurut kenyataan HMBE Legacy Sdn Bhd, inisiatif Gula Rahmah dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah kerangka Malaysia Madani, Rakyat Disantuni.
Produk tersebut diperakui halal dan keseluruhan pemprosesan, pembungkusan serta pengedaran mematuhi piawaian keselamatan makanan dan kawalan kualiti ditetapkan selain melibatkan 100 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera.



