SHAH ALAM, 9 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian tokoh ilmuwan dan pemikir peradaban Islam, Allahyarham Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas, sebagai satu kehilangan besar kepada dunia keilmuan Islam.
Menerusi perkongsian di Facebook, beliau berkata Allahyarham merupakan sarjana yang amat dihormati dan telah memberikan sumbangan besar dalam memartabatkan tradisi ilmu, adab serta tamadun Islam.
Menurutnya, khazanah pemikiran yang ditinggalkan Allahyarham khususnya berkaitan konsep ilmu, adab dan peranan Islam dalam membentuk peradaban yang luhur akan terus menjadi rujukan serta inspirasi kepada generasi ilmuwan.
“Jasa dan sumbangan Allahyarham akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi ilmuwan serta umat Islam dalam meneruskan tradisi keilmuan yang berteraskan hikmah dan nilai,” katanya.
Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Syed Muhammad Naquib al-Attas dikenali sebagai antara tokoh intelektual Islam terkemuka yang banyak menyumbang kepada perkembangan pemikiran Islam moden, khususnya melalui gagasan berkaitan konsep adab, falsafah pendidikan dan Islamisasi ilmu.
Beliau juga merupakan pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) serta menghasilkan pelbagai karya penting dalam bidang falsafah, sejarah dan pemikiran Islam yang menjadi rujukan sarjana di peringkat antarabangsa.









