Permohonan Geran Agropreneur NextGen dibuka, bantuan sehingga RM50,000

2 Jan 2026, 6:57 AM
Permohonan Geran Agropreneur NextGen dibuka, bantuan sehingga RM50,000
Permohonan Geran Agropreneur NextGen dibuka, bantuan sehingga RM50,000

SHAH ALAM, 2 JAN: Golongan belia yang berminat menceburi sektor pertanian, penternakan dan perikanan kini berpeluang mendapatkan bantuan sehingga RM50,000 menerusi Geran Agropreneur NextGen yang dibuka mulai tahun ini.

Geran di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu menawarkan dua kategori utama iaitu Start-Up dengan nilai bantuan maksimum RM30,000 dan Scale-Up sehingga RM50,000, bergantung kepada kelayakan serta tahap projek yang dijalankan.

Kategori Geran Agropreneur NextGen

Start-Up (maksimum RM30,000)

Pemohon perlu memenuhi syarat berikut:

  • berumur 18 hingga 43 tahun

  • pendapatan bersih tidak lebihi RM5,000 sebulan

  • punyai peralatan asas projek

  • projek telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan

  • punyai sekurang-kurangnya satu pusingan hasil

Scale-Up (maksimum RM50,000)

Permohonan dibuat secara manual dan terbuka kepada:

  • berumur 21 hingga 45 tahun

  • pendapatan bersih sehingga RM5,000 sebulan

  • projek telah beroperasi minimum tiga tahun

  • bekas penerima Geran Agropreneur Start-Up

Antara syarat lain yang ditetapkan termasuk projek melibatkan sektor tanaman, ternakan atau perikanan, pemohon telah mengikuti latihan teknikal berkaitan serta mempunyai status tanah sendiri, sewaan, Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau premis yang sesuai dengan projek.

Cara Memohon

  • Kategori Start-Up:
    permohonan dibuat secara dalam talian menerusi platform rasmi KPKM dengan mendaftar akaun, melengkapkan borang serta memuat naik dokumen sokongan.

  • Kategori Scale-Up:
    permohonan dibuat secara manual mengikut prosedur yang ditetapkan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi KPKM atau mengikuti saluran media sosial Agropreneur NextGen KPKM.