Fi kelestarian: Pengusaha mahu pulangan dimanfaat, pelancong harap tidak membebankan

1 Jan 2026, 12:19 PM
Fi kelestarian: Pengusaha mahu pulangan dimanfaat, pelancong harap tidak membebankan
Fi kelestarian: Pengusaha mahu pulangan dimanfaat, pelancong harap tidak membebankan
Fi kelestarian: Pengusaha mahu pulangan dimanfaat, pelancong harap tidak membebankan
Fi kelestarian: Pengusaha mahu pulangan dimanfaat, pelancong harap tidak membebankan
Fi kelestarian: Pengusaha mahu pulangan dimanfaat, pelancong harap tidak membebankan

SABAK BERNAM, 1 JAN: Pengusaha rumah inap desa (homestay) mahu pulangan fi kelestarian yang diperkenalkan Kerajaan Negeri bermula tahun ini, diperjelas serta dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Pengusaha Kolam House Sekinchan, Mohd Izzatul Izuan Tahir berkata pihaknya tidak menolak inisiatif tersebut namun pelaksanaannya perlu dibuat dengan telus dan mengambil kira realiti pengusaha kecil.

“Inap desa bukan hotel besar dan margin operasi kami jauh lebih kecil. Justeru, sebarang caj tambahan walaupun kecil perlu dilaksanakan secara berperingkat dan disertai mekanisme yang jelas.

“Hasil kutipan mesti dipulangkan semula kepada industri pelancongan khususnya pengusaha kecil, melalui penambahbaikan infrastruktur, promosi serta sokongan langsung kepada kelangsungan homestay tempatan,” katanya kepada Media Selangor.

Bagi pemilik Homestay Laman Bendang di Sungai Besar, Shuib Bahari pihaknya sedia melaksanakan fi kelestarian namun ia perlu dibuat secara 'menang-menang'.

Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar pada Festival Sawah Padi Sekinchan di Terminal Sekinchan pada 26 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurutnya, beliau juga tidak merancang untuk menaikkan kadar bayaran kepada pelancong berikutan jumlah fi berkenaan dilihat tidak menjejaskan keuntungan syarikat.

“Saya tiada masalah tapi saya harap ia dibuat secara menang-menang. Kerajaan Negeri boleh beri perkhidmatan terbaik dan kita juga sedia untuk bayar fi kelestarian.

“Sebelum ini pihak berkuasa tempatan (PBT) ada bincang dengan kami, tapi waktu itu belum ada ketetapan lagi. Sekarang sudah ada, kita ikut sahajalah,” katanya.

Sementara itu, pelancong, Rosminiliana Azemi, 42, mencadangkan bayaran fi kelestarian ditangguh bagi menarik lebih ramai rakyat tempatan melancong dalam negara, sekali gus membantu menjana ekonomi.

“Sesekali bayar RM2 itu okay tapi sekarang sudah banyak barang naik harga, tidak perlu pun perkenalkan fi itu.

Rosminiliana Azemi, 42. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kita mahu menyokong pelancongan dalam negara, tetapi apabila tambah pelbagai fi, nanti ramai tidak mahu melancong dalam negara lagi,” katanya yang bekerja sebagai guru.

Bagi Mazlan Ismail, 45, beliau menyifatkan bayaran RM2 bagi fi kelestarian di rumah inap desa berpatutan dan tidak membebankan pelancong.

“Caj RM2 untuk homestay itu okay, tidak membebankan. Saya rasa kos itu tidak tinggi dan kita mampu. Tambahan pula dapat bantu sektor pelancongan negara,” kata polis bantuan itu lagi.

Mazlan Ismail, 45. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, EXCO Pelancongan mengumumkan Selangor akan memperkenalkan fi kelestarian kepada pengunjung bermula 1 Januari 2026 bagi memastikan kelestarian warisan dan alam sekitar terus terpelihara

Menurut Dato’ Ng Suee Lim mekanisme kutipan akan dijalankan oleh PBT, manakala pihak hotel hanya berperanan sebagai pengurus.

Fi kelestarian ditetapkan mengikut jenis penginapan iaitu RM7 bagi hotel lima bintang, hotel empat bintang (RM5), hotel tiga bintang (RM3) dan RM2 untuk homestay atau Airbnb.

Selain Selangor, caj kelestarian telah dilaksanakan di Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Langkawi, Perak dan Negeri Sembilan.

Suasana Festival Sawah Padi Sekinchan di Terminal Sekinchan pada 26 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR