SHAH ALAM, 24 FEB: Selangor muncul antara negeri berprestasi terbaik dalam usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW), dengan Johor turut mencatat kemajuan ketara, kata Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata pencapaian pengurangan NRW berbeza mengikut negeri, namun Johor dan Selangor menunjukkan prestasi paling memberangsangkan hasil komitmen pengurusan yang konsisten dan berkesan.
“Prestasi pengurangan NRW berbeza mengikut negeri. Johor dan Selangor menunjukkan pencapaian terbaik hasil komitmen pengurusan yang kukuh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 13 Februari lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kadar NRW berjaya dikurangkan kepada 26.76 peratus pada 2025 berbanding 27 peratus tahun sebelumnya. Johor kekal sebagai negeri dengan kadar lebih baik.
Menerusi Laporan Impak 2024–2025, Air Selangor turut memaklumkan sebanyak 569 Zon Pemeteran Daerah (DMZ) diwujudkan sejak 2017 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengurangkan NRW, memperkukuh pemantauan aliran air serta mempercepat pengesanan kebocoran.
Fadillah yang juga timbalan perdana menteri menegaskan pengurangan NRW memerlukan komitmen berterusan dan pelaburan besar.
Menurutnya, terdapat operator air negeri yang berdepan kekangan kewangan kerana kadar tarif semasa tidak menampung sepenuhnya kos operasi, sekali gus menjejaskan pelaksanaan program dirancang serta sasaran nasional.
“Pengurangan NRW adalah tanggungjawab operator air negeri. Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) yang bermula pada Ogos 2025 akan membantu meningkatkan aliran tunai bagi membiayai operasi dan aktiviti pengurangan NRW,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM2.525 bilion bagi Program Pengurangan NRW Kebangsaan 2025–2030 yang bertujuan menggantikan infrastruktur kritikal di seluruh negara, menaik taraf meter rosak untuk bacaan lebih tepat serta memperkukuh pengurusan operator.
Tambah beliau, sistem bayaran balik secara pro-rata akan memberi insentif kepada operator yang melabur dalam pengurangan NRW, dengan pengurangan 50 peratus layak menerima pulangan separuh kos, manakala pengurangan 75 peratus menerima bayaran balik 75 peratus.
Fadillah menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan Persekutuan, operator negeri dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan sasaran dicapai tanpa membebankan pengguna.
“Kita mesti memastikan pengurusan air dipertingkatkan dan operator dilengkapi keupayaan untuk mencapai sasaran ditetapkan. Jika tidak, isu berlarutan sejak puluhan tahun akan terus berulang,” katanya.







