KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Seramai 4.7 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel kerana baki simpanan mereka sifar atau kurang daripada amaun minimum RM50.
Kementerian Kewangan memaklumkan jumlah itu mewakili 56 peratus daripada 8.4 juta ahli yang tidak membuat pengeluaran antara Mei 2024 hingga Oktober 2025, berdasarkan laporan Enduring Today, Shaping Tomorrow: Akaun Fleksibel as a Financial Lifeline for Wellbeing yang diterbitkan pada April lalu.
Menurut kementerian, baki 3.7 juta ahli atau 44 peratus mempunyai simpanan mencukupi, namun memilih untuk tidak mengeluarkan wang daripada Akaun Fleksibel.
"Laporan sama menunjukkan ahli yang membuat pengeluaran Akaun Fleksibel menggunakan kemudahan itu terutamanya bagi menampung keperluan hidup dan perbelanjaan harian.
"Antara tujuan utama pengeluaran ialah memenuhi keperluan harian, diikuti perbelanjaan rawatan kesihatan dan pembayaran hutang," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Jawapan itu diberikan kepada soalan Leong Jee Keen (PH-Selayang) berhubung trend pengeluaran Akaun Fleksibel serta langkah kerajaan memastikan kelestarian dana persaraan KWSP.
Kementerian berkata kira-kira lima juta ahli atau 37 peratus daripada ahli berusia bawah 55 tahun telah membuat sekurang-kurangnya satu pengeluaran daripada Akaun Fleksibel dalam tempoh sama.
Menurutnya, analisis KWSP turut mendapati corak pengeluaran semakin stabil selepas fasa awal pelaksanaannya, dengan purata pengeluaran bulanan menurun kepada sekitar RM440 juta sepanjang 2025.
Sehingga 31 Mei lalu, jumlah pengeluaran Akaun Fleksibel mencecah RM19.87 bilion membabitkan 5.5 juta ahli, manakala baki simpanan dalam akaun itu berjumlah RM14.36 bilion.
Kementerian berkata kerajaan bersama KWSP akan terus memantau trend pengeluaran, memperkukuh literasi kewangan, menggalakkan caruman sukarela serta memastikan pengurusan pelaburan yang mampan bagi menjamin kecukupan simpanan persaraan ahli dalam jangka panjang.







