SHAH ALAM, 31 DIS: Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Rambai, Jenjarom, dalam daerah Kuala Langat awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah malam melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 warna merah, sebuah kereta Proton Satria warna hitam dan sebuah Toyota Vellfire warna hitam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa dari arah Jalan Kebun menghala ke Jalan Sungai Rambai, dipercayai keluar dari simpang jalan tanpa memberi laluan lalu dilanggar sebuah Proton Satria yang sedang bergerak lurus di jalan berkenaan.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal tercampak ke bahu jalan manakala kereta Proton Satria melanggar besi penghadang jalan sebelum berpusing dan masuk ke lorong bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan Toyota Vellfire,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata penunggang motosikal mengalami kecederaan putus di pergelangan tangan kanan serta cedera pada bahagian kaki kanan dan telah dibawa ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa telah menjalani pembedahan di tangan kanan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Tambahnya, pemandu Proton Satria dan pemandu Toyota Vellfire tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Mohd Akmalrizal berkata penunggang motosikal Yamaha LC135 merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang bekerja sendiri, manakala pemandu Proton Satria juga lelaki tempatan berusia 20-an dan tidak bekerja.
“Pemandu Toyota Vellfire pula merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an yang bekerja sebagai peniaga,” katanya.
Menurut beliau, kesemua individu yang terlibat mempunyai lesen memandu yang sah.
Siasatan telah dibuka dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-1853 9115 atau 03-3187 2222,” katanya.


