Tahun 2025 membawa pelbagai rona emosi yang mewarnai perjalanan Selangor sepanjang 12 bulan penuh bermakna, dengan suka dan duka mencorakkan detik penting negeri ini.
Walaupun Selangor melalui sebahagian besar tahun tanpa konflik besar, beberapa tragedi tetap meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.
Namun, di sebalik detik pilu itu, 2025 turut dirangka oleh kisah kejayaan, kebanggaan dan semangat warganya yang terus mengharumkan nama Selangor di peringkat nasional dan antarabangsa.
Antara peristiwa paling bersejarah tahun ini ialah perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan pasangannya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz yang berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada 2 Oktober lalu.
Istiadat penuh tradisi meliputi upacara pernikahan, persandingan, majlis santapan diraja serta perarakan adat menandakan satu detik penting dalam lipatan sejarah negeri.
Tahun 2025 juga menyaksikan semangat patriotisme kembali menyala menjelang sambutan kemerdekaan apabila pelbagai acara berjaya menarik kehadiran pelancong dan rakyat setempat.
Antaranya Karnival Ban Canal serta kejayaan penganjuran MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang yang sekali lagi meletakkan Selangor di peta sukan permotoran dunia.
Pada masa sama, keprihatinan rakyat Selangor terhadap isu kemanusiaan turut terserlah apabila sokongan diberikan kepada misi Global Sumud Flotila yang disertai aktivis kemanusiaan Malaysia sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Namun, 2025 juga tidak terlepas daripada ujian berat. Tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights kekal sebagai antara peristiwa paling menyayat hati dan sukar dilupakan.
Segala detik ini dirakam melalui lensa jurufoto Ahmad Zakki Jilan, Fikri Yusof, Remy Arifin, Khairul Helmy, Harun Tajudin dan Adibah Izam yang membekukan momen-momen penting sepanjang tahun ini.
Ketika tahun 2026 melangkah masuk membawa harapan baharu, rakaman visual ini menjadi saksi perjalanan sebuah negeri yang terus bangkit, belajar daripada ujian dan melangkah ke hadapan bersama rakyatnya.
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkenan menyempurnakan upacara perasmian Masjid Sentosa, Taman Desa Sentosa, Sepang pada 17 Mac 2025.
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz ketika Istiadat Persandingan Diraja di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang pada 22 Oktober 2025.
Aksi pelumba perahu naga beraksi sempena Karnival Ban Canal di Parit 14, Simpang 5, Sabak Bernam pada 9 November 2025.
Pelumba berentap mencari kedudukan terbaik ketika perlumbaan kelas MotoGP sempena kejohanan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, Sepang pada 26 Oktober 2025.
Pandangan dari Persiaran Harmoni kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya pada 1 April 2025.
23 Sukarelawan Global Sumud Nusantara tiba di tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 8 Okotober 2025.
Jamilah Harun, 39, dari suku Mah Meri mengayam origami sempena program Perkampungan Kebudayaan Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 23 Januari 2025.
Rakyat asing turut berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan terhadap aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla yang ditahan tentera Israel pada 2 Oktober 2025.
Afiyah Fakrul bersama rakannya berlari memegang Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan di Caledonia Bestari Jaya pada 17 ogos 2025.
Jarum peniti dicucuk ketika proses akhir pembuatan songkok di Butik Songkok Malaya, Seksyen 13, Shah Alam.
Kuih bakul dikukus menggunakan kayu getah dan rambutan ketika Pesta Kuih Bakul (Rice Cake) sempena Tahun Baru Cina di Dewan Kampung Assam Kumbang, Kuala Kubu Bharu pada 12 Januari 2025.
Peserta menguji tenaga dalam acara tarik tali sempena Festival Ban Canal di Parit 14, Simpang 5, Sabak Bernam pada 8 November 2025.
Warga asing ditahan ketika operasi penguatkuasaan hutan secara bersepadu "OPS BERSIH "Fasa 1” di tropicana, Petaling Jaya pada 29 Julai 2025.